Tulisan ini sangat menarik, ideanya sangat 'simple', bila dibaca kita merasa sangat selesa dan memang ini yang saya rasakan sebagai orang yang dipimpin... saya rasa semua di luar sanapun sama.. jadi, apa lagi, teruskan membaca dan kita kongsi idea ini...
Mendengar adalah sesuatu yang memenatkan, apatah lagi kalau kita tidak berminat dengan apa yang diperkatakan.
Dalam keadaan mengantuk macam mana
sekalipun, kita akan menjadi segar apabila bicara yang kita dengar itu
mendapat perhatian minda kita.
Bagi orang yang bertanggungjawab pula, dia akan rasa berdosa kalau
tidak mendengar setiap perkataan pengikut atau orang yang sedang
dipimpinnya.
Wanita dikatakan seorang pendengar yang
baik. Namun lelaki pemimpin seharusnya diberi peluang untuk meningkatkan
mutu mendengarnya. Meminjam teknik-teknik kaunseling sangat membantu
pemimpin untuk menjadi pendengar yang baik.
Mengatur apa yang difokus oleh pemimpin
sangat membantu apa yang perlu didengarinya. Pemimpin yang berserabut
dengan lambakan isu di hadapannya akan lebih memburukkan keadaan.
Lambakan isu sudah menjadi lumrah
seorang pemimpin. Amat malang kalau pemimpin itu mengangkat tangan
mengaku kalah dengan lambakan itu. Pemimpin sebegini, sekali lagi
memerlukan bantuan, latihan menyusun isu.
Sekali-sekala dia perlu dibantu untuk “switch off” atau “switch on” dan tahu pula “turn the right channel”
ketika meneliti apa yang didengar. Apabila dia fokus apa yang dia
dengar, kemudian dia pandai memasukkan setiap isu ke dalam bilik atau
beg mindanya, mengikut topik, dia telah mula berjaya mengatur.
Pemimpin yang bijak ketika mendengar, dia juga akan mengklaskan apa yang dia dengar itu kepada tiga bahagian:
1. Apa yang terjadi? Apa yang berlaku? Akhirnya dinamakan semua kejadian itu sebagai sejarah.
2. Apa perasaan orang yang sedang
bercakap? Sama ada terungkap, tersirat atau tersembunyi. Kebijaksanaan
pemimpin meneroka dan mengagak sangat penting. Tetapi tidak sampai ke
peringkat menghukum, kerana masih di peringkat mendengar. Memadai
memasukkan ke beg-beg minda yang dibinanya sendiri. Dia dapat mengesan,
orang yang bercakap dengannya itu sedang marah? sedih? gembira? takut?
3. Apa pula harapan orang yang sedang
bercakap itu? Apa sebenarnya yang dia minta? Kadang-kadang pemimpin
tidak dikira “mendengar” kerana gagal memahami apa yang sedang dihajati
oleh orang yang sedang berbicara dengannya. Pemimpin yang baik tidak
boleh menyalahkan pengikutnya yang gagal menerangkan apa yang dihajati.
Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang menyalahkan dirinya kerana gagal
memahami apa maksud pengikutnya, walau bicaranya berbolak-balik. Kalau
tidak dia bukan seorang pemimpin yang baik.
Mari kita lihat kehebatan Nabi Sulaiman
sebagai pemimpin yang tajam bila mendengar. Kita tidak mampu menjadi
pemimpin seperti baginda a.s. tetapi memadai belajar meniru darinya;
adalah satu kejayaan ketika memimpin.
حَتَّىٰ إِذَا أَتَوْا عَلَىٰ وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا
أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ
سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
(Maralah angkatan itu) hingga
apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai
sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman
dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak
menyedari."
(An-Naml 27: 18)
Kehebatan mendengar itu adalah salah
satu simbolik kepada kehebatan pemimpin seperti Nabi Sulaiman a.s.
Walau sedang sibuk memimpin bala tenteranya, tentera udara yang terdiri
dari pelbagai burung, tentera daratnya yang terdiri dari pelbagai
manusia dan tentera ghaibnya yang terdiri dari para pelbagai jin,
kehebatan itu tidak membuat baginda alpa mendengar aduan rakyatnya yang
sekecil semut.
Wakil Rakyat semut, hanya mampu mengurus
semut-semutnya. Selamatkanlah diri masing-masing. Pemimpin yang besar
dan gagah barangkali tidak perasan boleh mencederakan pengikutnya tanpa
disedari.
Pemimpin kena sedar, tidak sekadar
tubuhnya malah bicaranya, arahannya, penguatkuasaannya dan “auranya”
boleh membinasakan pengikutnya. Pemimpin yang bertakwa seperti Nabi
Sulaiman pun boleh mencederakan rakyat tanpa disedari, bagaimana pula
pemimpin yang belum cukup taqwanya?
Bagaimana pula dengan pemimpin yang
memang sengaja menzalimi rakyatnya. Mengambil segala kesempatan dari apa
yang ada dibawahnya. Membunuh? Rasuah? Fitnah? Sudah tentu mereka tidak
berminat langsung untuk mendengar dari rakyat mereka.
فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ
أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ
وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي
عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman
mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai
Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang
Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap
mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan
limpah rahmat-Mu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh."
(An-Naml 27: 19)
Tersenyum kegembiraan seorang pemimpin
kerana sayang kepada rakyatnya. Tersenyum seorang pemimpin kerana walau
berkuasa, mampu mendengar keluhan rakyatnya. Tersenyum seorang pemimpin
kerana bersyukur kepada Allah, tidak lupa batas kuasanya.
Tersenyum dan terbahak ketawa seorang
ketua mungkin kerana berjaya merasuah, menipu dan memutar belitkan
berita. Terbahak ketawa mungkin kerana puas dengan pembazirannya.
Terbahak mungkin kerana berjaya memperbodohkan rakyatnya.
Pemimpin yang bertakwa yang sentiasa mendengar keluhan dan aduan pengikutnaya akan sentiasa berdoa:
• Mohon berterusan pandai bersyukur atas segala kurniaan Allah ketika memimpin itu
• Tidak lupa nikmat yang Allah berikan untuk keturunan sebelum ini
• Kekal iltizam dan istiqamah dengan pelbagai amal-amal solih yang diredhai Allah
• Merayu kekal dengan jemaah Islam, bersama hamba-hamba Allah dalam jaringan mata rantai yang luas
• Tidak lupa nikmat yang Allah berikan untuk keturunan sebelum ini
• Kekal iltizam dan istiqamah dengan pelbagai amal-amal solih yang diredhai Allah
• Merayu kekal dengan jemaah Islam, bersama hamba-hamba Allah dalam jaringan mata rantai yang luas
Kenapa pemimpin boleh dan sanggup menjadi pendengar yang baik? Ini kerana doa sebegini menjadi permainan hariannya.
Fikiran dan hatinya mendesak untuk dia
mendengar dengan baik dan mendengar dengan betul. Menyusun apa yang
didengar dan menyusun apa tindakan yang sepatutnya.
Moga Allah mengampunkan, memberi hidayah
dan memberkati kepada setiap yang bernama pemimpin. Moga Allah
mengganti dan menurunkan pemimpin yang menolak hidayah-Nya.
Di petik dari Hasanuddin Mohd Yunus,Isnin, 23 Mei 2011 15:23
http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/kolumnis/34-hasanuddin-mohd-yunus/859-jadilah-pendengar-yang-baik-wahai-pemimpin
No comments:
Post a Comment