SEMUA
boleh mengajar, tetapi tidak semua guru mampu mendidik.
Oleh: Alimuddin Mohd Dom
SEMUA
boleh mengajar, tetapi tidak semua guru mampu mendidik. Mengajar dan
mendidik dua perkara yang begitu sinonim, tetapi setiap perkataan
mempunyai pengertian serta terjemahan tersendiri. Menyandang jawatan
guru, tugas mereka bukan saja mengajar, malah yang lebih penting dalam
melengkapkan proses pengajaran ialah menyelitkan unsur nasihat. Elemen
ini dapat mendidik insan menjadi individu cemerlang akademik dan
memiliki sahsiah terpuji.
Proses pendidikan semakin mencabar. Ledakan maklumat pelbagai medium
berikutan kecanggihan teknologi maklumat dan telekomunikasi menjadikan
tugas guru semakin mencabar, malah rencam. Tidak timbul minat atau
paksaan, tugas mendidik tanggungjawab perlu dijayakan bagi memastikan
anak bangsa mendapat bimbingan wajar.
Berkongsi pengalaman ketika mengajar di Lumut, saya berhadapan masalah
seorang pelajar terpaksa berpindah ke sekolah luar dari Perak disebabkan
masalah keluarga. Ketika itu, wujud konflik kerana pelajar itu dalam
keadaan terpaksa sedangkan pada tahun sama dia perlu menduduki
peperiksaan.
Begitu juga ketika berhadapan masalah pelajar miskin terpaksa datang ke
sekolah dalam keadaan serba kekurangan. Sebagai guru, mereka dapat kenal
pasti setiap pelajar di kelasnya menerusi sistem maklumat murid. Bagi
mengatasi masalah itu, mungkin ada guru sedia menghulurkan bantuan
menggunakan wang saku.
Penulis menceritakan pengalaman beliau semasa menjadi guru.
Ketika bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Perang Kiri
di Tapah Road, laporan kedatangan mendapati seorang pelajar tidak ke
sekolah tiga hari berturut-turut. Risau memikirkan keadaan, sebelah
petang, saya ke rumah pelajar itu untuk mengetahui mengapa dia gagal ke
sekolah.
Sampai di rumah itu didapati keadaan hidupnya terlalu daif. Dia
terpaksa membantu ibunya menoreh getah bagi menampung hidup adik beradik
ramai yang masih kecil. Pelajar berkenaan perlu menggalas tugas sebagai
ketua keluarga selepas bapanya meninggal dunia.
Peristiwa 1975 itu sungguh mengharukan ketika negara berhadapan
kemelesetan ekonomi. Ironinya di sini, tidak semua pelajar yang tidak
datang ke sekolah disebabkan malas atau tiada motivasi memajukan diri,
sebaliknya banyak sebab menyumbang kepada keadaan itu. Guru perlu peka
perkara itu dan mencari jalan mengatasinya. Masalah boleh diatasi dengan
pelbagai cara sama ada mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ibu
Bapa dan Guru atau mencadangkan pelajar untuk mendapatkan biasiswa.
Mengulas isu imbuhan guru tidak setanding tugas dan beban yang terpaksa
digalas. Perkara ini memang tidak dinafikan, terutama bagi mereka yang
bertugas di pedalaman yang serba kekurangan. Perkara sama juga
dibangkitkan guru di bandar besar kerana kos sara hidup yang tinggi
sedangkan pendapatannya sama dengan rakan yang mengajar di pekan kecil.
Apabila bercerita imbuhan, ia suatu yang begitu subjektif dan
bergantung kepada persepsi individu. Ada guru menerima gaji sama dengan
rakan lain, tetapi dia sedia bertugas pagi dan petang bagi menjayakan
proses pengajaran dan aktiviti kokurikulum sebagai inisiatifnya untuk
melihat pelajar mendapat pendidikan seimbang.
Guru sebegini sedia menghulurkan bantuan kerana pada mereka kerja
adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh ikhlas. Pendidik
kelompok ini akan menjadikan tugasan sebagai aktiviti menyeronokkan dan
menjadikan hidup mereka gembira setiap kali berada di samping pelajar.
Kita tidak boleh menyamakan pengorbanan guru dengan wang ringgit
kerana segala yang disumbangkan itu adalah terlalu berharga dan tidak
ternilai. Tugas mulia seorang guru sering dijadikan pedoman masyarakat
yang sering mengaitkan anak guru lazimnya seorang yang cerdik, pintar
dan pandai.
Jika diteliti secara mendalam, andaian itu memang betul. Jika guru
ikhlas lakukan tugas dengan penuh tanggungjawab pastinya anak mereka
mendapat berkat. Keberkatan itu dilihat dengan pencapaian cemerlang anak
mereka dalam akademik, selain pembangunan sahsiah membanggakan.
|
Eh2 budak2 ni...... meniru eh....... |
|
Walaupun kerajaan mengemaskinikan pendapatan guru dari semasa ke
semasa bagi memastikan mereka mendapat imbuhan setanding penjawat awam
lain, pada masa sama, banyak perkara perlu diambil kira terutama
kekangan dana apabila berhadapan dalam situasi ekonomi tidak
mengizinkan.
Sama ada di bandar, luar bandar malah di pedalaman, tugasan
dilaksanakan penuh ikhlas pastinya mendapat kepuasan. Kepuasan melakukan
sesuatu itu tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk wang ringgit,
penghargaan, pingat, anugerah atau pujian daripada mana-mana pihak,
sebaliknya itu adalah hadiah paling berharga daripada guru untuk dirinya
sendiri.
Penulis ialah Ketua Pengarah Pelajaran
Berita Harian Online: 18 Mei 2010