Kenangan bersama SEMEKAR masih segar dalam ingatan.
SEMEKAR dari Flat Guru tingkat 4 - 1995
Nampak Gunung Kinabalu tu......
Sek. Men. Keb. Agama Ranau - SEMEKAR merupakan sekolah pertama saya ditempatkan apabila tamat latihan perguruan dari Maktab Perguruan Keningau, Sabah (1988-1990). Melaporkan diri pada 1 Disember 1990 dan merupakan guru ke 11 sekolah tersebut. Berumur 22 tahun saya menggalas tanggungjawab sebagai Guru Kelas, Guru Disiplin,Warden, Guru SPBT, Guru PSS, Penolong Setiausaha Sukan, Penasihat Persatuan Bulan Sabit Merah dan Guru Penasihat Persatuan Bola Tampar.
Sebagai guru muda dan tidak berpengalaman saya menjalankan tanggungjawab tersebut dan menerima tugasan dengan akur. Berbekalkan pengalaman sebagai guru sandaran di SMK Kundasang Ranau (1987-1988) dan ketika latihan mengajar (Praktikum) di SMK Gunsanad, Keningau sahaja, saya menghadapi dunia perguruan. Sangat kerdil rasanya dalam dunia pendidikan ketika itu, bertanya dan meminta tunjuk ajar dari guru-guru senior merupakan rutin apabila menghadapi masalah. Amanah mendidik pelajar rasanya sangat mencabar disamping melaksanakan tugas-tugas pentadbiran dan ko kurikulum.
Walaubagaimanapun, sebagai orang muda, berumur 22 tahun, dunia ini terasa sentiasa ceria, gembira dan meriah dengan kehadiran para pelajar yang pelbagai kerenah yang meriangkan walaupun adakalnya menyesakkan kepala..tetapi kenangan yang tercipta bersama mereka cukup indah dan manis untuk dikenang. Saya dewasa bersama pelajar-pelajar. Kerenah dan keletah mereka memang menguji kesabaran tetapi pada masa yang sama merupakan rencah kehidupan guru yang mempesonakan...bagi sayalah.
Setiap hari saya bangun dan berdebar-debar menanti apakah yang akan saya hadapi. Ada kisah-kisah yang melucukan, ada cerita-cerita yang menyentuh perasaan, sudah pasti ada yang membuat saya merah dan mengetap gigi serta menggenggam tangan menahan marah dan yang pasti ada hari pelajar akan mendengar saya menjeritkan nama-nama pelajar yang nakal... mereka takut tetapi mereka inilah yang biasanya permata hati saya. Mereka yang saya sering panggil, nasihatkan dan marah inilah yang sekarang menjadi antara mereka yang sangat rapat dengan saya...dan syukur ya Allah pelajar-pelajar SEMEKAR rata-ratanya berjaya serta berkualiti yang soleh dan solehah... yang pastinya hasil didikan guru-guru SEMEKAR.
Menyebut guru-guru pula..SEMEKAR mengajar saya hidup bersosial sebagai ahli masyarakat yang menyertai aktiviti sosial positif dan keagamaan. Bersama kumpulan ibu-ibu dalam usrah mingguan memberikan banyak ilmu bukan sahaja rumahtangga tetapi juga mengajar saya adab dan nilai persahabatan.
Persahabatan dengan guru-guru menguatkan saya. Masalah pendidikan dirungkai dan dihadapi bersama. pahit manis bersama2 dan segala kenangan tidak mungkin akan dilupakan. Di SEMEKARlah saya dewasa dan di sinilah saya menimba ilmu perguruan di alam realiti.
Paparan kenangan SEMEKAR
Semoga saya masih bermotivasi seperti dulu di SEMEKAR.....
Cikgu Ross
3 comments:
semekar will always in my heart!mekarrr!!
Terbaikkk...terima kasih rosnah...subki.. :(
Miss u cgu Ross..
Miss the moment..
Perintis SEMEKAR..
SEMEKAR tetap dlm ingatan..
Post a Comment